SHAH ALAM – Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan hanya akan dibebaskan daripada penjara pada tahun 2043 sekiranya beliau gagal dalam semua peringkat rayuan berhubung sabitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Berdasarkan pengiraan semasa, bekas Perdana Menteri itu akan berusia kira-kira 90 tahun pada tahun berkenaan sekiranya perlu menjalani keseluruhan tempoh pemenjaraan yang dikenakan terhadapnya.
Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun serta denda berjumlah RM11.38 bilion selepas Najib didapati bersalah atas empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan hukuman penjara tersebut berjalan serentak, namun pelaksanaannya hanya akan bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang kemudiannya dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan. Bagi kes SRC, beliau dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Sekiranya sabitan kes 1MDB dikekalkan di semua peringkat tanpa sebarang pengurangan hukuman, tempoh pemenjaraan Najib boleh mencecah lebih dua dekad, sekali gus membawa kepada jangkaan pembebasan sekitar tahun 2043.
KES 1MDB: NAJIB MUNGKIN HANYA BEBAS PADA TAHUN 2043 JIKA RAYUAN GAGAL
byMALAYSIA HARI INI
-
0
