KOTA BHARU – Polis menahan seramai 12 individu termasuk tujuh wanita yang dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh di Pasar Awam Melor di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan membabitkan lima lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20-an hingga lewat 50-an itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang wanita berusia 19 tahun yang mendakwa dirinya telah dikasari oleh seorang wanita lain berusia sekitar 20-an. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.30 petang dan turut melibatkan ahli keluarga pengadu serta suspek.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan pergaduhan berkenaan telah berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Rosdi berkata, akibat kejadian tersebut, pengadu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan. Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.
Tambah beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi tujuan permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi lima minit 21 saat yang memaparkan pergaduhan melibatkan beberapa individu, termasuk empat wanita, di Pasar Awam Melor, sekali gus mencetuskan perhatian orang ramai.
Tags
MALAYSIA HARI INI
