PENUNGGANG BASIKAL MAUT DIREMPUH PACUAN EMPAT RODA DI MIRI

MIRI – Seorang penunggang basikal warga tempatan berusia lingkungan 45 hingga 50 tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam satu kemalangan tragis di Jalan Miri–Pujut, berhampiran Pasaraya Boulevard, di sini, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami selepas dilanggar kenderaan terbabit. Pacuan empat roda berkenaan dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.
Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Miri, kenderaan tersebut sedang bergerak dari arah pusat bandar Miri menuju ke Permyjaya sebelum terlibat dalam kemalangan apabila penunggang basikal berkenaan dipercayai keluar dari simpang Pasaraya Boulevard. “Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurut kenyataan PDRM.
Mayat mangsa telah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut, manakala kenderaan terlibat turut diperiksa bagi membantu siasatan. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya. Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammad Amiruddin bin Hamdan di talian 018-9529957 atau 085-430479. Selain itu, mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau waris diminta tampil ke balai polis berhampiran. Dalam pada itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama