Petarung Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo, bertekad membuka tirai tahun 2026 dengan langkah kanan apabila dijadualkan kembali beraksi di Stadium Lumpinee, Bangkok pada 23 Januari depan.
Jojo bakal turun beraksi pada pentas ONE Fight Night 39 dengan menentang jaguh Filipina-Amerika, Sean ‘The One’ Climaco dalam kategori flyweight Muay Thai. Pertembungan itu dilihat penting buat Jojo kerana Climaco memiliki rekod kemenangan ke atas Diego Paez, lawan yang pernah menghadiahkan kekalahan kepada petarung muda negara itu sebelum ini.
Enggan terus dibelenggu episod sukar sepanjang tahun 2025, Jojo mahu memulakan kempen baharu dengan kemenangan bagi membina momentum positif untuk tempoh 12 bulan akan datang. Beliau menganggap pertarungan tersebut sebagai peluang untuk membuktikan kematangan dan perkembangan diri sebagai seorang petarung.
Sebelum ini, Jojo berdepan permulaan tahun yang mencabar apabila tewas kepada Johan Estupinan pada Januari, sebelum sekali lagi tewas kepada Diego Paez pada Jun lalu. Bagaimanapun, hasil kerja keras dan latihan berterusan menyaksikan beliau kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Zakaria El Jamari pada ONE Fight Night 35, September lalu.
Menurut Jojo, sasaran utamanya bukan sekadar membalas kekalahan atau mengumpul rekod kemenangan, sebaliknya mahu terus berkembang dan mengekalkan evolusi sebagai seorang petarung dalam divisyen flyweight yang kompetitif.
BANGKIT LEBIH MATANG, JOJO TEKAD MULAKAN 2026 DENGAN KEMENANGAN
byMALAYSIA HARI INI
-
0
