KERETA HILANG KAWALAN DALAM HUJAN, PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT

PENAMPANG – Seorang penunggang motosikal warga asing maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Bundusan, di sini, malam Isnin. Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden (DSP) Erwansyah Abdul Basir berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 malam pada 29 Disember 2025.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kereta yang sedang dalam perjalanan menghala ke Towering melalui Jalan Bundusan dipercayai dipandu dalam keadaan hujan lebat sebelum hilang kawalan. “Motokar tersebut dipercayai terbabas sebelum melanggar sebuah motosikal yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal, seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan. Pemandu kereta pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan
Tambah Erwansyah, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian. Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya semasa cuaca buruk dan pada waktu malam. “Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat serta lebih peka dengan keadaan jalan dan cuaca bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama