DR. MAHATHIR: PESERTA SUMUD FLOTILLA BERISIKO DIANIAYA ISRAEL DI PERAIRAN ANTARABANGSA
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi peringatan keras bahawa peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berkemungkinan besar berdepan ancaman lebih teruk daripada Israel, termasuk serangan di perairan antarabangsa.
Menurut beliau, berdasarkan pengalaman lalu, Israel tidak pernah teragak-agak menggunakan kekerasan walaupun terhadap misi kemanusiaan. Dr. Mahathir mengingatkan insiden tahun 2010 apabila sembilan aktivis terbunuh selepas flotilla Gaza diserang tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa.
“Saya berpendapat sebelum flotilla ini sampai ke perairan Gaza, semasa berada di perairan antarabangsa lagi Israel akan serang. Sebenarnya, mereka sudah pun hantar dron untuk serang,” katanya dalam satu rakaman podcast yang dimuat naik di Facebook.
Beliau turut menolak dakwaan Israel yang cuba mengaitkan flotilla tersebut dengan Hamas, menyifatkannya sebagai alasan politik untuk menghalalkan tindakan zalim. “Yahudi ini kawal media antarabangsa dan apa yang disebut mereka adalah pembohongan. Tidak ada Hamas jika tidak ada Israel,” tegasnya.
GSF membawa peserta antarabangsa serta bekalan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza yang berdepan sekatan berpanjangan. Dr. Mahathir menegaskan pentingnya masyarakat dunia menyedari risiko besar yang dihadapi peserta misi, namun pada masa sama menghargai keberanian mereka yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi membantu Palestin.