LUBANG BENAM GERGASI DEPAN HOSPITAL VAJIRA CETUS PANIK DI BANGKOK


LUBANG BENAM GERGASI DEPAN HOSPITAL VAJIRA CETUS PANIK DI BANGKOK
Orang ramai di ibu kota Thailand dikejutkan apabila Jalan Samsen, Dusit, tiba-tiba mendap pada jam 7.00 pagi, hari ini, mencipta sebuah lubang benam raksasa di hadapan Hospital Vajira. Lubang berukuran kira-kira 30 meter lebar dan lebih 15 meter dalam itu mengakibatkan beberapa tiang elektrik tumbang, paip utiliti pecah serta beberapa kenderaan mengalami kerosakan.

Susulan kejadian, pihak hospital segera memindahkan pesakit serta kakitangan ke lokasi lebih selamat. Ribuan pesakit luar dan orang awam diarah menjauhkan diri daripada kawasan tersebut. Bekalan elektrik serta air di sekitar lokasi diputuskan sementara bagi mengelakkan risiko tambahan. Laluan utama dari simpang Vajira ke simpang Sanghi ditutup sepenuhnya untuk operasi menyelamat dan pemeriksaan struktur.

Gabenor Bangkok yang turun meninjau lokasi memaklumkan, siasatan awal mendapati lubang benam mungkin berpunca daripada kerja pembinaan terowong projek transit bawah tanah. Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan siasatan teknikal sedang dijalankan sebelum sebarang kesimpulan rasmi diumumkan.

Pasukan kecemasan serta jurutera bandar kini giat menstabilkan tanah, bimbang runtuhan merebak hingga menjejaskan bangunan berhampiran. Setakat laporan diterima, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bangkok Metropolitan Administration (BMA) menasihatkan orang ramai agar mengelakkan kawasan Samsen Road sehingga keadaan benar-benar selamat dan hanya mengikuti maklumat rasmi dikeluarkan pihak berkuasa.


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama