PDRM TERBANYAK TERIMA PENGIKTIRAFAN SPRM.


 

PDRM TERBANYAK TERIMA PENGIKTIRAFAN SPRM, 386 LAPOR RASUAH SEJAK 2012

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat jumlah tertinggi penjawat awam yang menerima pengiktirafan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melaporkan kes pemberian atau penerimaan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, dalam tempoh 2012 hingga 2024, seramai 386 pegawai dan anggota PDRM tampil membuat laporan, menjadikan mereka penerima terbesar daripada 550 calon penjawat awam yang diberi penghargaan.

“Jumlah ganjaran keseluruhan yang disalurkan mencecah RM1.14 juta. Ia bukan sahaja penghargaan, malah menjadi contoh kepada penjawat awam lain bahawa keberanian melaporkan salah laku adalah tindakan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Rasuah Siri 14 Bil 1 Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM.

Selain PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia merekodkan 48 penerima, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (25 orang) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (15 orang). Selebihnya melibatkan agensi kerajaan lain.

Dalam majlis berkenaan, seramai 43 penjawat awam turut menerima ganjaran berjumlah RM46,000 selepas disahkan lulus Sistem Tapisan Keutuhan SPRM.

Pengiktirafan ini dilaksanakan selaras keputusan Jemaah Menteri pada 2010 dan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Negara pada 2011 yang mengiktiraf mana-mana penjawat awam berani melaporkan amalan rasuah.

Ahmad Khusairi menegaskan usaha ini penting dalam memperkukuh integriti perkhidmatan awam, selain menjadi bukti bahawa keberanian melaporkan salah laku tidak sia-sia.


📍 Untuk berita penuh & info lanjut, layari: http://malaysiahariini.website / https://malaysiahariini-info

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama