KUCHING – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar bandar raya Kuching pada 29 dan 30 Disember lalu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook JIM Sarawak, operasi berkenaan melibatkan Ops Gegar, Ops Sapu dan Ops Selera yang memberi tumpuan kepada bilik-bilik sewa yang dipercayai dijadikan tempat tinggal warga asing.
Operasi tersebut menyaksikan seramai 19 pegawai penguat kuasa digerakkan dan berjaya menahan 36 warga asing atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Antara lokasi operasi yang terlibat ialah Pusat Komersial Kubah Ria, Pusat Komersial Lee Ling, Batu 5 Jalan Matang, Pusat Komersial Batu Kawa, kawasan perniagaan Jalan Pending serta beberapa kawasan di Gita.
JIM Sarawak memaklumkan bahawa operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan jabatan itu dalam memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan seumpama itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti tinggal dan bekerja secara tidak sah.
“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Tags
MALAYSIA HARI INI
