Johan Ghazali Kecam Kritikan 'Jurulatih Sosial Media'

 

PETALING JAYA: Juara Muay Thai negara, Johan Ghazali, menyelar tindakan 'jurulatih sosial media' yang memberi kritikan tidak bertanggungjawab terhadapnya selepas pertarungan berdepan Johan Estupinan baru-baru ini. Johan menjelaskan perkara itu selepas ucapan beliau tular di media sosial, susulan lontaran kata-kata negatif yang diterima selepas tewas kali kedua dalam saingan One Championship 170 di Bangkok.

Menurut Johan, ramai pihak yang tidak pernah bertanding dalam gelanggang memberi komen seperti "tidak cukup itu dan ini" atau memberikan cadangan tidak realistik seperti "tumbuk kanan, sepak kiri," tanpa memahami realiti cabaran sebenar dalam sukan tersebut. Dalam sebuah podcast yang tular, Johan menegaskan bahawa kritikan tersebut sangat menyakitkan hati dan datang dari mereka yang tidak pernah melalui disiplin dan usaha yang diperlukan dalam sukan tersebut.

"Orang yang tidak pernah masuk gelanggang, mereka kata aku tidak cukup itu dan ini, banyak orang senang suruh aku tumbuk kanan, sepak kiri lah. Aku tampar muka kau karang sekali. Menyakitkan hati. Orang begini tidak pernah ada disiplin dan capai sesuatu," katanya dengan tegas.

Johan yang kini berusia 18 tahun juga mengakui bahawa dia sedang dalam proses menyesuaikan diri dengan variasi strategi baru untuk meningkatkan kemahiran dalam sukan Muay Thai. Beliau berkata, untuk pertarungan seterusnya, dia perlu mengubah strategi dan corak pertarungannya.

“Seperti Rodtang, Superbon kata kepada Jojo, kemahiran boxing Jojo sudah bagus, cumanya kena tambah baik aspek sepakan, siku supaya lebih bagus,” katanya, merujuk kepada nasihat yang diterimanya dari petarung berpengalaman dalam dunia Muay Thai.

Johan bertekad untuk terus memperbaiki dirinya dan tidak mudah terkesan dengan kritikan negatif, sebaliknya fokus untuk menjadi lebih baik dalam setiap pertarungan yang akan datang.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama