MOTOSIKAL UBAH SUAI EKSTREM ANTARA 65 KENDERAAN DISITA JPJ KUALA LUMPUR

MOTOSIKAL UBAH SUAI EKSTREM ANTARA 65 KENDERAAN DISITA JPJ KUALA LUMPUR KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menyita sebanyak 65 motosikal dalam tiga operasi berasingan yang dijalankan malam tadi, termasuk sebuah Yamaha Y15 yang diubah suai secara ekstrem dengan kos mencecah RM18,000. Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi berkenaan dijalankan di Jalan Genting Sempah, Tol Gombak serta sekitar Jalan Ampang melibatkan kawasan berhampiran Menara Berkembar KLCC. Operasi itu memberi tumpuan kepada penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya dan melakukan pengubahsuaian kenderaan tidak mengikut spesifikasi teknikal ditetapkan.
Menurut beliau, sebanyak 3,244 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi yang berakhir pada jam 5 pagi, dengan 811 notis saman dikeluarkan. Penunggang yang ditahan kebanyakannya berusia antara 14 hingga 25 tahun, termasuk warga asing. Antara kesalahan utama yang dikesan termasuk aksi tunggangan berbahaya seperti “Superman”, “willy” dan “zigzag”, selain penglibatan dalam aktiviti lumba haram yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Tambahnya, operasi tersebut dijalankan susulan aduan orang awam mengenai kebisingan dan gangguan lalu lintas. Sehingga kini, sebanyak 1,002 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan berkaitan pengubahsuaian ekstrem dan tunggangan berbahaya. JPJ turut mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan nombor pendaftaran “fancy” dan mengelirukan, dengan denda minimum RM5,000 hingga RM10,000 mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama