IPD KUCHING TINGKAT KAWALAN TRAFIK MENERUSI OP LANCAR

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan melaksanakan Op Lancar bermula 29 Disember 2025 hingga 2 Januari 2026 di sekitar bandar raya Kuching bagi mencegah kemalangan jalan raya serta mengurangkan kesesakan lalu lintas. Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi tersebut dilaksanakan berikutan bandar raya Kuching dijangka menjadi tumpuan orang ramai sempena cuti sekolah dan cuti umum dalam tempoh berkenaan.
Menurut beliau, seramai 10 pegawai kanan dan 40 anggota akan ditugaskan bagi menjayakan operasi ini. Antara laluan utama yang akan diberi tumpuan termasuk Jalan Gambier, Jalan Wan Alwi, Jalan Lapangan Terbang, Jalan Tun Jugah, Jalan Tabuan, Jalan Stutong Baru, Jalan Setia Raja, Jalan Pending, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakop dan Jalan Rock. Beliau berkata, pemantauan serta penguatkuasaan trafik akan dilaksanakan secara berterusan khususnya di kawasan tumpuan orang ramai bagi memastikan kelancaran aliran lalu lintas. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif yang disyorkan serta mematuhi arahan anggota polis trafik yang bertugas. Selain itu, pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan sikap berhemah serta bertolak ansur ketika berada di jalan raya. Kerjasama dan keprihatinan orang awam amat dihargai demi menjamin keselamatan, keselesaan serta kelancaran trafik, khususnya di daerah Kuching sepanjang tempoh operasi ini dijalankan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama