Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan pembentukan satu ‘konsensus nasional baharu’ dengan matlamat menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, keperluan membina konsensus tersebut kini lebih mendesak berbanding sebelum ini, khususnya dalam landskap politik negara yang semakin terpolarisasi. Menurutnya, konsensus baharu itu tidak boleh bersifat sempit atau terhad kepada satu kelompok sahaja, sebaliknya perlu melibatkan kelas politik, suara keagamaan, masyarakat sivil dan seluruh rakyat.
Hamzah menjelaskan, konsensus nasional baharu perlu dibina atas tiga teras utama. Teras pertama ialah matlamat bersama yang bertujuan menggerakkan pembinaan negara melangkaui kepartian serta menolak politik dendam demi menghidupkan semula semangat kenegaraan bersama
Beliau berkata, teras kedua iaitu kemakmuran bersama menekankan bahawa tiada komuniti wajar disisihkan daripada arus pembangunan negara, sambil menegaskan kualiti hidup rakyat tidak seharusnya ditentukan oleh latar belakang atau lokasi tempat tinggal.
Menurutnya, teras ketiga pula melibatkan tadbir urus penuh belas ihsan yang berasaskan prinsip kemanusiaan, maruah dan keprihatinan dalam pentadbiran, dengan visi melayan rakyat sebagai rakan kongsi dan bukannya beban.
Hamzah menegaskan konsensus nasional baharu itu bukan sekadar retorik politik, sebaliknya perlu dijadikan doktrin nasional bagi memastikan Malaysia terus dihormati dan berdaulat dalam dunia multipolar.
HAMZAH CADANG PEMBENTUKAN KONSENSUS NASIONAL BAHARU DEMI PERPADUAN NEGARA
byMALAYSIA HARI INI
-
0
