PH TIDAK SELAMAT JIKA PRN PERLIS DIADAKAN – RAFIZI

PH TIDAK SELAMAT JIKA PRN PERLIS DIADAKAN – RAFIZI KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berpandangan Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan tidak selamat sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Perlis diadakan dalam masa terdekat susulan kemelut politik yang melanda negeri itu. Menurut beliau, satu-satunya kerusi yang dimenangi PH di Perlis iaitu Indera Kayangan kini berada dalam zon bahaya berdasarkan analisis keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini. Rafizi berkata, sekiranya sentimen pengundi bukan Melayu dan kadar keluar mengundi berada pada paras rendah sekitar 40 peratus, PH berkemungkinan hanya memperoleh antara 50 hingga 60 peratus undi di kawasan berkenaan. “Jika keadaan ini berlaku, Indera Kayangan tidak lagi selamat,” katanya menerusi audio siar Yang Berhenti Menteri.
Beliau turut menyentuh krisis politik Perlis yang tercetus selepas peletakan jawatan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, serta tindakan beberapa ADUN Bersatu menarik sokongan terhadap kepimpinan negeri. Menurut Rafizi, walaupun Perikatan Nasional berdepan pergolakan dalaman, situasi itu tidak semestinya menguntungkan PH. Sebaliknya, UMNO berpotensi menjadi penerima manfaat terbesar sekiranya PN terus berpecah. Katanya, hampir 40 peratus pengundi Pas dan Bersatu terdiri daripada bekas pengundi UMNO, dan mereka lebih cenderung kembali menyokong UMNO berbanding beralih kepada PH. Beliau menambah, kebangkitan semula UMNO bergantung kepada keupayaan parti itu mengurus isu sensitif termasuk kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama