ARMADA: TIADA KEPERLUAN BUBARKAN PN UNTUK HIDUPKAN SEMULA MUAFakat NASIONAL
KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan bahawa tidak wujud keperluan untuk membubarkan Perikatan Nasional (PN) bagi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, isu sebenar dalam landskap politik semasa bukan berkisar kepada pembubaran mana-mana gabungan, sebaliknya kegagalan segelintir pihak memahami realiti politik dan keperluan membina kekuatan secara matang serta berprinsip.
Menurut beliau, yang diperlukan ketika ini ialah kematangan politik, keikhlasan dalam rundingan serta kesediaan membina kekuatan bersama tanpa menafikan sejarah dan fakta kemenangan yang telah dicapai sebelum ini.
Beliau mengulas pandangan beberapa pimpinan politik yang mencadangkan agar MN dihidupkan semula, termasuk cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pemuda PN, Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Harris menegaskan hubungan antara Bersatu dan Pas bukan bersifat sementara atau taktikal, malah telah diuji dalam pelbagai fasa politik dan terbukti kukuh kerana berasaskan prinsip kestabilan negara, keadilan ekonomi serta pembelaan terhadap rakyat.
Katanya, PN terbentuk hasil kesedaran politik dan pengalaman sejarah bahawa kekuatan umat serta negara hanya dapat dibina melalui muafakat yang tulen dan berprinsip.
Beliau menambah, sebarang gagasan penyatuan atas nama MN hanya mampu direalisasikan jika berpaksikan realiti kuasa dan mandat rakyat, dengan Perikatan Nasional dilihat sebagai platform paling hampir menjayakan agenda tersebut.
ARMADA: TIADA KEPERLUAN BUBARKAN PN UNTUK HIDUPKAN SEMULA MUAFakat NASIONAL
byMALAYSIA HARI INI
-
0
