PU AMIN GESA KANDUNGAN PARANORMAL DAN SYIRIK DIHENTIKAN SEGERA
Pendakwah selebriti PU Amin menegaskan kandungan berunsur paranormal, khususnya aktiviti ‘pemburu hantu’, boleh memberi kesan negatif terhadap pemikiran masyarakat serta mencemarkan kesucian agama Islam.
PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, amalan ruqyah tidak seharusnya disalahgunakan untuk tujuan menghalau hantu kerana konsep sebenar ruqyah adalah sebagai satu bentuk ibadah dan amalan mendekatkan diri kepada Allah.
Beliau menegaskan, sama ada kandungan tersebut disampaikan dalam bentuk hiburan atau serius, elemen paranormal berunsur syirik tidak wajar diterima masyarakat kerana boleh merosakkan akal dan mencalar maruah agama.
Dalam pada itu, PU Amin menggesa semua pencipta kandungan yang menghasilkan program mencari hantu supaya menghentikan amalan tersebut serta tidak memperalatkan peranan ustaz dan agama demi meraih tontonan.
Menurutnya, ustaz bukan mainan atau ‘kuli halau hantu’, manakala ruqyah pula bukan jampi serapah seperti yang sering digambarkan dalam kandungan paranormal. Beliau menegaskan pemikiran sedemikian perlu diperbetulkan segera.
Teguran itu dibuat susulan aktiviti paranormal yang diterajui seorang pengacara terkenal, yang didakwa berlaku insiden merasuk melibatkan individu tertentu. PU Amin menekankan bahawa program berunsur hantu tidak memerlukan kehadiran ustaz dan seharusnya dihentikan bagi mengelakkan penularan fahaman yang menyimpang.
PU AMIN GESA KANDUNGAN PARANORMAL DAN SYIRIK DIHENTIKAN SEGERA
byMALAYSIA HARI INI
-
0
