TIADA UNSUR JENAYAH DALAM KEBAKARAN RAGUT NYAWA IBU DAN ANAK DI SENTUL
Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian kebakaran yang meragut nyawa dua beranak di sebuah rumah di Flat Sentul Utama, Jalan Dato Senu, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Sukarno Mohd Zahari berkata, hasil siasatan awal termasuk pemeriksaan di lokasi kejadian serta proses bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada kebakaran tersebut.
Menurut beliau, proses bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa telah selesai dijalankan dan setakat ini tiada sebarang elemen jenayah dikenal pasti. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut tanpa unsur khianat.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut ialah seorang lelaki dewasa berusia 58 tahun dan ibunya, seorang wanita warga emas berusia 82 tahun. Kedua-dua mangsa ditemui di dalam tandas rumah berkenaan selepas kebakaran berjaya dipadamkan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kebakaran tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa terperangkap di dalam rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan, termasuk memastikan sistem pendawaian elektrik berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Tags
MALAYSIA HARI INI
