NIAT SELAMATKAN ABANG BERAKHIR TRAGEDI, PELAJAR TINGKATAN SATU LEMAS DI SUNGAI RAWA

MACHANG – Niat murni seorang adik untuk menyelamatkan abangnya yang terjatuh ke dalam Sungai Rawa, Kampung Belukar, di sini, berakhir dengan tragedi apabila pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan lemas pada Jumaat malam. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa, Mohamad Syafi Irsyad Mohd Shaharudin, 13, dipercayai terjun ke dalam sungai selepas melihat abangnya yang berusia 15 tahun terjatuh ketika berada di tebing sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati abang mangsa terjatuh secara tidak sengaja sebelum mangsa bertindak terjun ke sungai untuk cuba menyelamatkan ahli keluarganya itu. “Abang mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tembok penghadang air, namun mangsa gagal menyelamatkan diri dan dipercayai dihanyutkan arus deras akibat hujan lebat,” katanya. Menurut beliau, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam sebelum mengaktifkan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan melancarkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR). Operasi SAR melibatkan kerjasama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Machang. Mangsa akhirnya ditemukan pada jam 9.40 malam oleh orang awam dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama