KEMALANGAN MAUT DI PEKAN: JURUTEKNIK PAIP TERKORBAN AKIBAT MPV MASUK LALUAN
PEKAN: Seorang juruteknik syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Maran maut selepas kereta dipandunya dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 10 Jalan Chini-Salong, di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Norzaidi Zakaria, 40, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chini akibat kecederaan parah dialami. Mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang dari arah Kuantan menuju ke Chini ketika kemalangan berlaku.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati MPV jenis Proton Exora yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun, bersama dua penumpang, datang dari arah bertentangan.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, MPV tersebut dipercayai memasuki laluan mangsa ketika cuba memotong kenderaan lain, sebelum merempuh kereta jenis Proton Saga dipandu mangsa.
Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius dan dibawa ke Klinik Kesihatan Chini sebelum disahkan meninggal dunia. Pemandu MPV dan dua penumpangnya yang berusia antara 51 hingga 67 tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
Kes kemalangan maut berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Tags
MALAYSIA HARI INI
