DARO: Seorang remaja lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika menjala udang di Jeti Sungai Kelai, Rumah Panjang Jingga, Pulau Bruit, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Daro, Deputi Superintendan Rahim Mihos berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 petang ketika mangsa berada di tebing sungai bersama beberapa rakan. Mangsa dikenali sebagai Agustine Fernando Nyalong, 14, dipercayai disambar buaya secara tiba-tiba ketika sedang menjala udang.
Menurut beliau, sejurus kejadian dilaporkan, operasi mengesan mangsa telah digerakkan dengan kerjasama beberapa agensi penyelamat. Namun setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian diteruskan di sekitar lokasi kejadian.
Rahim berkata, kawasan Sungai Kelai dikenal pasti sebagai antara lokasi berisiko tinggi dengan kehadiran buaya dan orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada, khususnya ketika melakukan aktiviti di sungai.
Beliau turut meminta penduduk setempat agar mengelakkan aktiviti di kawasan sungai yang dikenal pasti berbahaya serta sentiasa mematuhi langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga mangsa ditemui atau mendapat petunjuk baharu berhubung kejadian tersebut.
Tags
MALAYSIA HARI INI
