Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu berjaya merampas sebanyak 3,430,000 batang rokok dan 70,518.24 liter minuman keras tidak berkastam dalam satu serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Lorong Ulu Sungai Merah 46J, Sibu, pada 17 Disember lalu.
Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, serbuan dijalankan sekitar jam 4.25 petang hasil maklumat risikan daripada Ibu Pejabat JKDM. Pasukan Unit Operasi Darat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sibu menemui pelbagai jenama rokok dan minuman keras yang disyaki merupakan barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Menurut beliau, nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM731,809.44, manakala jumlah duti import dan cukai yang terlibat mencecah RM3,472,209.93. Modus operandi sindiket terbabit dipercayai menggunakan rumah penginapan sebagai lokasi penyimpanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai duti kastam atau RM100,000, atau dipenjarakan antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, JKDM menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.
3.43 JUTA ROKOK, 70,518 LITER MINUMAN KERAS DIRAMPAS DALAM SERBUAN JKDM SIBU
byMALAYSIA HARI INI
-
0
