Kerajaan pada masa ini tidak mengawal selia kadar tambang bagi perkhidmatan e-hailing, sebaliknya penetapan tambang ditentukan sepenuhnya berdasarkan konsep permintaan dan penawaran pasaran, menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
APAD dalam kenyataan memaklumkan bahawa perkhidmatan e-hailing merupakan sebahagian daripada sektor ekonomi gig yang bersifat pasaran terbuka, dengan struktur operasi dan model perniagaan yang berbeza antara syarikat. Justeru, kerajaan tidak menetapkan kadar tambang tetap bagi perkhidmatan tersebut.
Bagaimanapun, APAD menegaskan semua pemegang lesen perniagaan e-hailing perlu mematuhi syarat lesen yang ditetapkan, termasuk larangan ke atas pemandu daripada melakukan tawar-menawar selepas berjaya memperoleh tempahan. Pemandu juga mempunyai pilihan sama ada untuk menerima atau menolak sesuatu tempahan.
Penjelasan itu diberikan susulan beberapa isu yang dibangkitkan dalam sesi libat urus bersama persatuan penghantar sebelum ini. Dalam perkembangan sama, Kementerian Pengangkutan kini sedang melaksanakan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam (PSPA) yang antara lain menilai kewajaran pengenalan kawalan atau tambang lantai bagi perkhidmatan e-hailing.
Menurut APAD, hasil kajian tersebut akan dibentangkan kepada menteri untuk pertimbangan lanjut, namun setakat ini tiada keputusan dibuat berhubung kawalan tambang.
Selain itu, APAD memaklumkan kenderaan e-hailing diwajibkan mendapatkan insurans tambahan yang memberikan perlindungan kepada pemandu, penumpang serta pihak ketiga. Kajian skim insurans mampu milik turut dijalankan bersama Bank Negara Malaysia bagi memastikan perlindungan lebih menyeluruh kepada penggiat industri e-hailing.
Tags
MALAYSIA HARI INI
