KUALA LANGAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menyerahkan laporan penuh hasil siasatan berhubung kes kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Butterworth, Pulau Pinang kepada pihak polis dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, laporan awal berhubung kejadian tersebut telah pun dikongsikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun JBPM masih giat menyiapkan laporan penuh bagi tujuan siasatan lanjut.
Menurut beliau, proses penyediaan laporan melibatkan pengambilan sampel bahan terbakar, analisis forensik, pembentukan diagnosis serta hipotesis bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
“Apabila semua maklumat lengkap dan disahkan, barulah laporan penuh kebakaran diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani Kampung Bukit Changgang JBPM.
Beliau menjangkakan laporan penuh berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua minggu.
Dalam kejadian pada 10 Disember lalu, seorang wanita bersama anak angkatnya berusia lima tahun ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu utama sebuah rumah berkembar kelas A, dengan anggaran kemusnahan mencecah 85 peratus. Seorang lagi mangsa dilaporkan cedera.
Susulan kejadian itu, polis menahan anak lelaki mangsa berusia 20-an dan kes yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tags
MALAYSIA HARI INI
