Kuala Muda – Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, telah melaksanakan operasi khas “Ops Pintu/Lusuh” sepanjang Disember 2025 dan berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah yang aktif mencuri kabel KTMB di sekitar daerah Kuala Muda.
Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis itu berjaya merampas peralatan dan perkakas yang digunakan untuk memecah dan memotong kabel, termasuk kapak, tukul besi, mesin pengisar, pemotong, gergaji besi, serta kabel curi bernilai anggaran RM10,000. Kenderaan Proton Wira digunakan kumpulan ini bagi memudahkan pergerakan dan menyimpan peralatan serta kabel hasil curi.
Enam suspek lelaki berusia antara 27 hingga 51 tahun, dikenali sebagai "Geng Kavi", ditahan. Rekod semakan lampau mendapati mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah. Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mencuri kabel KTMB.
Modus operandi kumpulan ini termasuk merosakkan pagar milik KTMB, memasuki kawasan landasan kereta api, dan mencuri kabel dari dalam manhole menggunakan peralatan khas. Polis Kuala Muda menegaskan kerjasama orang ramai amat penting bagi membanteras jenayah dan mengekalkan keselamatan awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di kawasan masing-masing digesa menghubungi hotline IPD Kuala Muda di talian 04-429 9222.
Tags
MALAYSIA HARI INI
