Sibu – Seorang pemuda, Zamri Galau, 26, dijatuhi hukuman penjara empat bulan atau denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret kerana mengintip seorang wanita berusia 20 tahun di tandas sebuah pusat beli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman pada 30 November 2025. Tertuduh gagal membayar denda dan diarahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Zamri didakwa melakukan perbuatan yang berniat mengaibkan maruah wanita berkenaan dengan mengintipnya ketika membuang air kecil. Berdasarkan fakta kes, tertuduh melompat dari kubikel bersebelahan ke kubikel pengadu, cuba menekup mulut mangsa, dan menolak mangsa ke dinding. Pengadu sempat menjerit dan membuka kunci pintu kubikel.
Dua wanita lain yang berada di tandas bertindak menolak pintu kubikel, menyebabkan tertuduh melarikan diri. Rakaman CCTV mendapati tertuduh masuk ke dalam tandas wanita kira-kira jam 8.45 malam. Polis menangkap tertuduh pada 11 Disember 2025 di sebuah rumah panjang di Batu 20, Jalan Oya.
Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Keshava Rao Tharma Raja, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tags
MALAYSIA HARI INI
