SARANG PELACURAN WARGA BANGLADESH DALAM KEBUN KELAPA DISERBU POLIS
IPOH – Polis berjaya membongkar kegiatan pelacuran di kawasan kebun kelapa apabila menahan enam warga Bangladesh dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan di Kampung Tualang Tujuh, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, pada Khamis.
Dalam serbuan jam 7.30 malam itu, dua wanita dan empat lelaki berusia antara 32 hingga 49 tahun diberkas anggota Balai Polis Simpang Pulai ketika melaksanakan rondaan cegah jenayah khas. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan sarang pelacuran oleh suspek.
“Mereka bukan sahaja dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran, malah tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.
Pemeriksaan lanjut menemui 16 keping kondom, minyak urut, tisu basah, wang tunai RM100 serta dua telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menguruskan kegiatan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.
Polis menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras jenayah di komuniti setempat.
