TRELER TERBALIK SEBABKAN LEBUH RAYA UTARA–SELATAN SESAK 8 KILOMETER
IPOH – Trafik di Lebuh Raya Utara–Selatan arah utara dari Ipoh menuju Kuala Kangsar lumpuh sejauh kira-kira lapan kilometer susulan kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer (KM) 256.8, tengah hari tadi.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 12.39 tengah hari apabila treler terbabit terbalik dan melintang di tengah laluan, menyebabkan semua lorong terhalang.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikongsi LLM, kedudukan kenderaan berat itu menutup keseluruhan laluan dan menghalang pergerakan trafik. Keadaan itu menyebabkan aliran kenderaan terhenti sepenuhnya di lokasi kejadian.
Pasukan bomba dan penyelamat dilaporkan tiba di lokasi sekitar jam 1.09 tengah hari bagi mengendalikan operasi pembersihan dan mengalihkan treler tersebut.
Bagi mengurangkan kesesakan, LLM menasihati pengguna agar keluar di Plaza Tol Ipoh Selatan sebagai laluan alternatif sebelum menyambung perjalanan ke destinasi masing-masing.
“Trafik terhenti lapan kilometer. Segala kesulitan amat dikesali. Rancang perjalanan anda,” kata kenyataan itu.
Setakat petang ini, kerja-kerja pengalihan kenderaan masih dijalankan dan pengguna dinasihatkan bersabar serta mematuhi arahan pihak berkuasa di lokasi.
.jpg)