𝐏𝐀𝐃𝐀𝐇 𝐔𝐏𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐀𝐒𝐈𝐍𝐆, 𝐏𝐑𝐄𝐌𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐍𝐈𝐀𝐆𝐀𝐀𝐍 𝐃𝐈𝐆𝐄𝐌𝐏𝐔𝐑 𝐈𝐌𝐈𝐆𝐑𝐄𝐒𝐄𝐍 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑

JOHOR BAHRU: Dalam usaha membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor telah menahan 43 warga asing hasil serbuan di kawasan Taman Pelangi dan Taman Molek pada Khamis lalu. Operasi yang dinamakan Ops Selera bermula jam 12 tengah hari melibatkan pasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor. Operasi tersebut menumpukan pemeriksaan pekerja asing, dokumen perjalanan, status permit kerja serta rekod majikan. Premis perniagaan yang menggaji dan melindungi warga asing tanpa dokumen sah turut digempur. Hasil pemeriksaan mendapati warga asing yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki Myanmar, lima Indonesia, dua Pakistan, tiga India, lima Nepal, serta tiga wanita dewasa Myanmar dan 12 wanita Indonesia berusia 19 hingga 49 tahun.
Selain itu, empat warga tempatan turut ditahan kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran sah. Kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut. Sebanyak lima borang 29 dikeluarkan kepada saksi bagi membantu siasatan.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, menegaskan bahawa mana-mana pihak yang melanggar undang-undang Imigresen akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi, termasuk tangkapan dan pertuduhan. JIM Johor akan terus melaksanakan penguatkuasaan berterusan bagi membersihkan kawasan perniagaan daripada kegiatan PATI, memelihara keselamatan masyarakat serta mempertahankan undang-undang negara.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama