BULI JUNIOR DI ASRAMA, ENAM PELAJAR SEKOLAH AGAMA DIREMAN POLIS

 



BULI JUNIOR DI ASRAMA, ENAM PELAJAR SEKOLAH AGAMA DIREMAN POLIS

CHUKAI – Enam pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sebuah sekolah agama di sini direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes membuli dan memukul seorang pelajar junior di asrama sekolah berkenaan.

Perintah reman sehingga Ahad itu dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret Kemaman. Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, semua suspek ditahan kira-kira jam 11.30 pagi semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk membantu siasatan.

Menurut beliau, mangsa berusia 15 tahun membuat laporan pada 3 Ogos lalu, mendakwa dipukul keenam-enam suspek dalam sebuah bilik asrama kira-kira jam 1.30 pagi pada 30 Julai. Kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan beberapa pelajar lain.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian badan akibat kejadian tersebut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama