THAIPUSAM: LELAKI BAWA PISAU ALASAN KESELAMATAN DIRI DITAHAN POLIS

Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki pisau pemotong sayur ketika sambutan Thaipusam di sekitar Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh, pada Sabtu. Suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 pagi semasa operasi keselamatan dijalankan sepanjang sambutan perayaan berkenaan. Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari berkata, suspek mendakwa pisau tersebut dibawa sebagai langkah perlindungan diri. Namun, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai beberapa rekod lampau melibatkan kes jenayah kekerasan dan dadah.
“Berdasarkan rekod lampau suspek serta situasi sambutan perayaan yang melibatkan orang ramai, adalah tidak rasional untuk individu terbabit membawa senjata berbahaya,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Program High Profile Policing Polis Perak bersama masyarakat bersempena sambutan Thaipusam. Menurut beliau, suspek direman selama tiga hari bermula Ahad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Dalam perkembangan sama, pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 80 tahun kerana menerbangkan dron tanpa permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di kawasan sambutan tersebut. Bagaimanapun, lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis, manakala dron dirampas untuk siasatan lanjut. Seramai 763 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang sambutan Thaipusam bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama