Tindakan tidak terkawal seorang lelaki membawa padah apabila dia bertindak membakar sebuah kediaman di PPR Desa Tun Razak, Cheras, semalam, selepas mendakwa abang iparnya menjadi punca keretakan rumah tangganya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan pada kira-kira jam 8.30 pagi daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan.
Menurutnya, pengadu memaklumkan menerima panggilan daripada adik perempuannya yang menyatakan suaminya berada di hadapan rumah untuk mengambil semula barangan peribadi.
“Semasa pengadu membuka pintu, suspek menjerit dan menuduh pengadu sebagai punca rumah tangganya runtuh. Bagi mengelakkan pergaduhan, pengadu membenarkan suspek mengambil barangan sebelum beredar ke hujung tangga blok,” katanya.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, jiran memaklumkan rumah pengadu terbakar. Kurang tiga jam selepas kejadian, suspek berusia 34 tahun berjaya ditahan pada jam 11.25 pagi.
Siasatan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 436 dan 506 Kanun Keseksaan.
Tags
MALAYSIA HARI INI
