KES PERTAMA TUKAR JANTINA DIDAKWA DI MAHKAMAH SYARIAH KELANTAN

KOTA BHARU – Kelantan merekodkan pendakwaan pertama membabitkan kesalahan mengubah jantina sejak Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 diwartakan pada tahun 2020. Pendakwaan itu berlangsung di Mahkamah Syariah Kelantan, Kota Bharu, pertengahan bulan lalu, melibatkan seorang individu disyaki transgender yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dalam satu operasi awal tahun ini.
Menurut sumber, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 berkaitan kesalahan mengubah jantina sendiri atau orang lain. Tertuduh mengaku tidak bersalah dan kes kini berada di peringkat pengurusan. Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan perincian kes tersebut secara terbuka bagi menjaga kepentingan semua pihak terlibat.
Sementara itu, aktivis hak asasi menyuarakan kebimbangan bahawa penguatkuasaan undang-undang berkenaan memberi kesan besar terhadap komuniti transgender, khususnya dari sudut keselamatan dan kebebasan peribadi. Kes berkenaan turut mencetuskan kegusaran dalam kalangan komuniti LGBTQ+ di Kelantan yang menyifatkan pendakwaan itu sebagai perkembangan signifikan dalam penguatkuasaan undang-undang syariah di negeri berkenaan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama