𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝐑𝐄𝐌𝐏𝐈𝐓, 𝟏𝟓𝟐 𝐒𝐀𝐌𝐀𝐍 𝐃𝐈𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐊𝐀𝐍

MARANG – Seramai 44 penunggang motosikal termasuk remaja seawal 14 tahun ditahan dalam operasi khas di Jalan Kampung Gong Kekabu–Jalan Taman Safiah Murni, Bukit Payong, awal pagi Jumaat selepas didapati mengganggu ketenteraman awam dengan membuat bising menggunakan motosikal masing-masing.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Mohd Redzuan berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki warga asing dipercayai warga Rohingya kerana menunggang motosikal secara berasingan tanpa lesen. Mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Payong untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Katanya, pemeriksaan melibatkan 19 remaja lelaki berusia 14 hingga 17 tahun serta 25 individu lain berumur 18 hingga 41 tahun. Sebanyak 38 motosikal disita, dan 152 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, khususnya ekzos diubah suai sehingga mengeluarkan bunyi kuat dan mengganggu masyarakat. Kesemua individu yang ditahan dibawa ke balai polis dan diarahkan menunaikan solat sunat taubat serta solat Subuh berjemaah sebelum dibebaskan selepas diberikan nasihat. Operasi bermula pada jam 12.30 tengah malam itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dengan kekuatan 24 anggota dan pegawai. Mohd Sofian turut menasihatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap pergerakan anak-anak, khususnya berkaitan penggunaan motosikal tanpa lesen kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan nyawa.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas serta sentiasa berwaspada demi keselamatan bersama.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama