PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan pelaku rasuah perlu dibankrapkan agar tidak lagi menikmati harta yang dicuri daripada rakyat. Menurutnya, pemulihan aset akan terus diperhebat pada 2026, selaras usaha SPRM meminimumkan ketirisan dan memastikan penjenayah kehilangan semua hasil rompakan mereka.
Beliau berkata, tumpuan siasatan turut diberikan terhadap kes berprofil tinggi melibatkan individu yang mempunyai kedudukan, kuasa atau kekayaan, bagi memastikan tiada pihak terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Masyarakat kini semakin peka dan menuntut pendekatan baharu yang lebih efektif. Mekanisme lama tidak lagi relevan jika gagal membawa hasil,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Azam turut menegaskan bahawa kemampuan pegawai SPRM ditingkatkan melalui penggunaan teknik siasatan moden dan kerjasama strategik bersama agensi dalam serta luar negara bagi mengesan aset yang hilang.
Beliau berkata, komitmen kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus terbukti melalui pelaksanaan pelbagai pembaharuan undang-undang termasuk undang-undang perolehan, Rang Undang-Undang Freedom of Information serta pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Selain itu, pelaksanaan Default Protection Agreement dan insentif potongan cukai kepada syarikat yang melaksanakan program antirasuah dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam menyokong integriti organisasi.
“Hari Antirasuah Antarabangsa bukan sekadar simbolik, tetapi medan menggerakkan tekad bersama memerangi rasuah secara menyeluruh,” katanya.
AZAM BAKI: PELAKU RASUAH PERLU DIBANKRAPKAN, ASET DIKEMBALIKAN KEPADA NEGARA
byMALAYSIA HARI INI
-
0
