POLIS TAHAN ENAM AHLI GENG BHAI TERLIBAT SAMUN KARGO, CURI TRELER DAN KENDERAAN

PAHANG – Polis menahan enam lelaki ahli kumpulan “Geng Bhai” yang disyaki terbabit dalam beberapa kejadian samun kargo dan curi kenderaan sejak Oktober lepas, dengan kerugian dianggarkan RM659,000. Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata operasi penahanan itu adalah hasil Op Kargo yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, susulan dua kes samun treler bermuatan besi dan kabel PVC serta lima kes curi treler, forklift dan kereta. Serbuan dijalankan di Senawang (Negeri Sembilan), Klang (Selangor) dan Bentong antara 21 hingga 29 November lalu, berjaya menahan enam lelaki berusia antara 24 hingga 56 tahun, kesemuanya mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah. Rampasan barangan kes termasuk empat treler, sebuah lori, dua kereta, 10 drum kabel PVC dan tiga alat pemotong besi serta kabel.
Modus operandi kumpulan ini adalah menyasarkan treler bermuatan yang berhenti di tepi jalan, mengikat mangsa dan membawa kenderaan ke lokasi lain sebelum meninggalkan mereka. Kumpulan ini juga mencuri treler kosong dan forklift untuk memunggah barang samun ke stor sewaan di Senawang. Ketua kumpulan berusia 56 tahun, pernah terlibat dalam kes jenayah kargo dan kini menjalani parol hingga Mac 2026. Tiga lagi ahli masih bebas, dikenali sebagai Kishan Singh Kretar Singh (41), Muhammad Farhan Subri (23) dan seorang lelaki dikenali sebagai Raja.
Kesemua suspek direman dan polis kini memohon tempoh reman dilanjutkan untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan) dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan (curi kenderaan).

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama