PETALING JAYA – Sindiket dadah dengan upah lumayan RM4,000 hingga RM5,000 bagi setiap perjalanan akhirnya ditumpaskan polis selepas risikan rapi membongkar operasi terancang mereka. Dalam dua serbuan serentak pada 1 Disember lalu, enam lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 46 tahun ditahan, dipercayai terlibat membawa masuk dan mengedarkan dadah dari negara jiran ke beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia, termasuk dari Perlis hingga Lembah Klang.
Serbuan pertama di kawasan parkir bawah tanah sebuah pasar raya di Petaling Jaya membawa kepada penahanan lima suspek bersama sebuah Toyota Alphard dan dua Perodua Myvi. Polis menemui 263 bungkusan methamphetamine seberat 273 kilogram dan 98 bungkusan ketamin seberat 101 kilogram. Serbuan kedua di perkarangan stesen minyak Rehat dan Rawat Simpang Pulai, Perak menahan seorang lagi lelaki yang berperanan sebagai sweeper, memastikan laluan sindiket selamat dari pemantauan pihak berkuasa.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata sindiket ini memiliki struktur teratur, dengan suspek pertama sebagai runner, suspek kedua hingga kelima sebagai pengangkut, dan suspek keenam sebagai sweeper. Dadah disimpan dalam guni sebelum dipindahkan ke kenderaan di lokasi transit. Polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM140,000, menjadikan jumlah rampasan keseluruhan RM13.9 juta. Semua suspek direman tujuh hari mulai 2 Disember untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tags
MALAYSIA HARI INI
