SHAH ALAM – Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, membuat rayuan penuh emosi kepada pihak berkuasa supaya menyiasat kematian anaknya dengan telus dan menyeluruh. Beliau percaya di sebalik kematian tragis itu, terdapat jenayah lain yang berselindung dan perlu dibongkar sepenuhnya.
“Pandanglah kes anak saya dengan mata hati dan siasat dengan penuh ketelusan,” kata Ummu Haiman selepas prosiding di Mahkamah Tinggi di sini. Beliau menganggap perjuangannya bersama peguam Datuk Naran Singh amat berbaloi apabila Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes kematian Syamsul Haris sebagai kes bunuh hasil dapatan bedah siasat kedua.
Ummu Haiman menzahirkan penghargaan kepada individu yang membantu mendapatkan kebenaran penggalian semula kubur anaknya bagi bedah siasat kedua, serta kepada Naran Singh, Datuk Johan Abd Aziz (ADUN Dusun Tua), dan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman yang membuktikan kebenaran apa yang dirasainya semasa melihat jenazah anaknya sebelum ini.
Allahyarham Syamsul Haris merupakan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Kes kematiannya kini diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, hasil taklimat laporan siasatan Polis Diraja Malaysia. Ummu Haiman berharap pelaku yang menyebabkan kematian tragis anaknya dibawa ke muka pengadilan supaya dikenakan hukuman setimpal, sambil menyeru pihak berkuasa bertindak sewajarnya bagi menegakkan keadilan.
Tags
MALAYSIA HARI INI
