SEREMBAN – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan menahan 184 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi di sebuah kilang bateri di Nilai, semalam.
Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi selama empat jam itu dijalankan bermula 7.50 pagi hasil risikan serta aduan awam mengenai kegiatan pekerja asing tanpa dokumen sah di kawasan perindustrian berkenaan.
Katanya, seramai 219 warga asing diperiksa dan hasilnya 184 ditahan, terdiri daripada 163 lelaki serta 21 wanita berusia antara 20 hingga 49 tahun yang merupakan warga Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan Indonesia.
“Ketika serbuan dilakukan, ada antara mereka menyorok di celah mesin serta timbunan produk kilang bagi mengelak ditahan. Namun, tindakan pantas anggota operasi berjaya menahan kesemua suspek,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut. Antara kesalahan dikesan ialah tiada pas perjalanan, tinggal lebih masa serta melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Kennith turut memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen sah, dan tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai.
📍 http://malaysiahariini.website
Tags
MALAYSIA HARI INI
