KUALA LUMPUR – Tular di media sosial video seorang wanita yang juga pegawai polis ditahan kerja sejak tahun lalu, mencetuskan kekecohan di Jalan Ipoh, Chow Kit, pada malam Selasa. Wanita berkenaan didakwa menuduh anggota polis yang sedang bertugas mengugut seorang lelaki warga Pakistan yang ditahan kerana memandu tanpa lesen.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam apabila lelaki berusia 34 tahun itu, yang bekerja di sebuah kedai pakaian, diperiksa sepasukan anggota polis. Ketika pemeriksaan dijalankan, wanita tersebut datang dari arah belakang lalu menuduh anggota bertugas tidak mengetahui undang-undang serta memperlekehkan kewibawaan mereka di khalayak ramai.
Kekecohan itu menarik perhatian orang awam dan rakaman kejadian turut tular di media sosial. Susulan insiden itu, anggota bertugas telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” jelas Fadil dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat tuduhan melulu atau bertindak mengganggu tugas penguatkuasaan di lapangan.
📍 Untuk info lanjut, lawati malaysiahariini.website
Tags
MALAYSIA HARI INI
