VIDEO - 70 PERATUS BAHAGIAN FGD TANJUNG BIN MUSNAH DALAM KEBAKARAN

PONTIAN – Bahagian Flue Gas Desulfurization (FGD) dan terowong cerobong asap di Loji Jana Kuasa Tanjung Bin (TBE) dilaporkan terbakar dalam satu insiden malam tadi.
Komander Operasi Kanan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 malam sebelum menggerakkan 22 anggota dari BBP Pontian Baru, Pekan Nenas serta Pasukan Bomba Sukarela Benut ke lokasi kejadian. Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan melalui dua sektor utama bagi mengawal kebakaran yang merebak di bahagian FGD. Usaha memadam turut mendapat bantuan daripada 10 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) serta enam anggota Bomba Pelabuhan Tanjung Bin dengan menggunakan dua unit fix monitor sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.
“Kebakaran tersebut menyebabkan kemusnahan hampir 70 peratus pada struktur FGD, namun tiada mangsa yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau menambah, pemantauan seterusnya diserahkan kepada pihak pengurusan Malakoff bersama ERT bagi memastikan kawasan terjejas benar-benar selamat.
Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan pihak berkuasa. Tiada sebarang pemindahan dilaporkan berlaku kerana kawasan kejadian dapat dikawal sepenuhnya oleh pasukan operasi. Pihak bomba turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama