USTAZ FIRDAUS FIRABIB UMUM LETAK JAWATAN SELEPAS SOLAT JUMAAT, MAHU BERI LALUAN PADA GENERASI PELAPIS

Sungai Petani – Imam dan Pengerusi Masjid Al Busyra, Merbok, Ustaz Firdaus Firabib atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mat Akhir, 37, mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa hari ini. Pengumuman itu dibuat melalui rakaman video di Facebook dan TikTok miliknya selepas menunaikan solat Jumaat.
Menurut Firdaus, beliau memegang jawatan itu sejak tujuh tahun lalu dan keputusan mengundurkan diri bukanlah mudah, namun dirasakan perlu demi memberi ruang kepada pelapis baharu untuk meneruskan pembangunan masjid. Beliau mengakui telah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit sepanjang memimpin masjid berkenaan. Dalam ucapan pengunduran itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, ahli jawatankuasa serta kariah masjid atas kepercayaan yang diberikan walaupun beliau bukan anak tempatan. Beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan sepanjang kepimpinannya dan berharap hubungan baik bersama jemaah dapat diteruskan.
Selain peranan rasmi di masjid, Firdaus dikenali sebagai tokoh dakwah media sosial yang aktif menggunakan TikTok untuk mengumpul dana. Beliau menegaskan tidak pernah mengambil sebarang keuntungan peribadi daripada hadiah maya (gift) sebaliknya menyalurkan lebih RM42,000 kepada masjid. Firdaus turut memaklumkan operasi kedai Nasi Arab Al-Busyra Bistro yang beroperasi dalam kawasan masjid akan ditamatkan pada 12 Oktober dan diserahkan semula kepada pihak masjid. Katanya, meskipun tidak lagi memegang jawatan, beliau tetap akan membantu sehingga beberapa projek pembangunan masjid selesai sepenuhnya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama