RAYUAN 23 PEMILIK RUMAH TERES KAMPUNG SUNGAI BARU UNTUK TANGGUH PENGOSONGAN DITOLAK MAHKAMAH TINGGI

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan 23 pemilik rumah teres di Kampung Sungai Baru berhubung permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan perintah pengosongan kediaman.
Hakim Su Tiang Joo menolak rayuan itu dengan kos RM10,000 selepas mendapati pelaksanaan terhadap milikan kosong telah pun dijalankan. Keputusan dibuat melalui prosiding dalam kamar. Peguam penduduk, Datuk Rosal Azimin Ahmad, memaklumkan walaupun rayuan ditolak, anak guamnya dibenarkan menulis surat kepada peguam pemaju bagi mendapatkan kebenaran masuk semula ke rumah untuk mengambil barang-barang yang masih tertinggal. Beliau menegaskan pihaknya akan memfailkan rayuan lanjut dalam tempoh 30 hari seperti dibenarkan undang-undang.
Notis rayuan itu sebelum ini difailkan bagi mencabar keputusan Penolong Kanan Pendaftar Qasiratul Jannah Usmani Othman yang menolak permohonan mereka menggantung writ milikan kosong bertarikh 4 Jun lalu. Writ berkenaan telah dilaksanakan pada 15 Julai terhadap kediaman di kampung tersebut. Penduduk terbabit menamakan KL City Getaway sebagai responden dalam kes itu. Pada 15 September lalu, pihak polis bersama beberapa agensi penguatkuasaan melaksanakan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu membabitkan 37 unit rumah teres di kawasan berkenaan.
Tindakan itu dilaksanakan selepas melalui proses perolehan tanah dan keputusan mahkamah yang mengarahkan pengosongan dibuat bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan Kampung Sungai Baru.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama