JOHOR BAHRU – Seorang lelaki bujang berusia 30-an yang bekerja sebagai penghantar makanan e-hailing bersama seorang wanita berstatus janda anak satu ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah hotel sekitar bandar raya ini, malam tadi.
Serbuan dilakukan pada jam 11.30 malam selepas menerima maklumat awam. Menurut pegawai penguatkuasa, pintu bilik berkenaan hanya dibuka selepas lebih 10 minit diketuk. Wanita berkenaan membuka pintu dalam keadaan berpakaian lengkap, manakala seorang lelaki ditemui duduk di atas katil.
Ketika disoal siasat, lelaki itu mendakwa ke bilik berkenaan untuk menghantar makanan dan berehat seketika kerana kepenatan selain menggunakan tandas. Namun, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang makanan atau bekas pesanan ditemui. Semakan pada aplikasi penghantaran makanan juga menunjukkan tiada sebarang pesanan dibuat ke bilik berkenaan.
Bilik hotel terbabit turut disewa menggunakan nama wanita tersebut. Hasil pemeriksaan lanjut, keadaan bilik didapati dalam keadaan mencurigakan, sekali gus menguatkan syak penguatkuasa terhadap pasangan berkenaan.
Kedua-duanya ditahan dan dibawa ke pejabat JAINJ untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
JAINJ dalam kenyataan turut menasihati orang ramai agar menjauhi perbuatan khalwat kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang syariah, malah mencemar maruah serta memberi persepsi buruk dalam masyarakat Islam.
Tags
MALAYSIA HARI INI
