POLIS KELANTAN GEMPUR OPERASI KHAS, TAHAN LAPAN SUSPEK KES CULIK TIGA LELAKI DI CHERANG RUKU

KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan lapan individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes penculikan tiga lelaki di Cherang Ruku pada 26 September lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 46 tahun itu diberkas dalam satu operasi khas dijalankan bermula jam 2 pagi hingga 11.30 pagi, di enam lokasi berasingan sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat. Siasatan awal mendapati suspek bertindak mengurung mangsa di sebuah rumah sebelum menuntut wang tebusan RM150,000 daripada majikan mereka. Bagaimanapun, pengadu hanya menyerahkan RM29,000 kepada kumpulan tersebut.
“Hasil operasi, polis merampas 10 telefon bimbit milik suspek, lima telefon milik mangsa, sebuah Proton Perdana, sebuah Audi Q7 dan sebuah Nissan Terrano. Turut dirampas ialah sepucuk pistol revolver, pistol tiruan, rantai besi, lima mangga, pelitup muka serta pakaian dipakai suspek semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan. Tambah beliau, semua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan (pemerasan dengan ugutan), Seksyen 342 (sekatan salah), Seksyen 365 (melarikan orang dengan niat salah) serta Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali. Polis menegaskan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan kes berprofil tinggi itu.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama