BUDI95: INDUSTRI HARAP SUBSIDI TAMBAHAN RON95 AMBIL KIRA KOS OPERASI P-HAILING DAN E-HAILING

SHAH ALAM – Pemberian had kelayakan tambahan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada pemandu e-hailing yang diumumkan kerajaan diharapkan benar-benar memenuhi keperluan industri.
Enam persatuan penghantar p-hailing dan e-hailing berkata penggiat sepenuh masa memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 liter tambahan, khususnya di kawasan bandaraya seperti Kuala Lumpur dan Selangor yang menuntut kos operasi lebih tinggi. “Pengiktirafan Perdana Menteri terhadap peranan penting penggiat e-hailing dalam sistem pengangkutan awam negara memberi lonjakan semangat. Namun, had kelayakan tambahan ini perlu ditentukan dengan teliti supaya tidak menjejaskan kos operasi dan akhirnya membebankan pengguna,” kata gabungan persatuan itu.
Gabungan berkenaan terdiri daripada Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak, serta Persatuan Rakan Penghantar Kedah. Mereka turut menegaskan inisiatif BUDI95 perlu diperluaskan kepada penghantar p-hailing, memandangkan ada yang menggunakan kereta, pacuan empat roda dan van selain motosikal bagi tujuan penghantaran barangan.
Selain itu, mereka menghargai langkah Grab mengemukakan isu had kelayakan subsidi kepada Perdana Menteri. Inisiatif sebegini, menurut kenyataan itu, penting bagi memberi gambaran sebenar realiti lapangan serta mengelakkan potensi kenaikan kos tambahan yang akhirnya ditanggung oleh pengguna. Persatuan terbabit berharap kerajaan terus mendengar suara industri bagi memastikan inisiatif ini benar-benar menepati sasaran, di samping mengekalkan akses rakyat terhadap perkhidmatan pengangkutan yang mampu milik.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama