DUA MANGSA LEMAS DIHANYUTKAN ARUS DERAS DALAM BANJIR KILAT DI TONGOD, JBPM NASIHATKAN AWASI FENOMENA KEPALA AIR

KINABATANGAN, 3 OKT 2025 – Dua mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di Kampung Bangkulut Imbak Timbangan Evogold Sdn. Bhd., Tongod, malam tadi. Mangsa pertama ialah seorang wanita warga emas berusia 79 tahun, warganegara Indonesia, manakala mangsa kedua seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, warganegara Malaysia.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, banjir kilat berlaku akibat kepala air yang turun secara mengejut dari kawasan hulu sebelum melimpahi kawasan kampung. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Hairi Otuh, berkata pasukan menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 9.46 malam dan tiba di lokasi kira-kira jam 3.01 pagi dengan lima anggota, sebuah jentera pacuan empat roda, dan sebuah bot dari BBP Beluran. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan kerjasama polis (12 anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (4 anggota), dan PBS Tongod (4 anggota).
Mangsa pertama ditemui kira-kira 250 meter dari lokasi dihanyutkan, diikuti kanak-kanak lelaki pada jarak 200 meter dari mangsa pertama. Kedua-duanya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Tiada operasi pemindahan dijalankan kerana paras air kembali surut sepenuhnya, dan operasi ditamatkan jam 5.04 pagi. JBPM menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dengan fenomena kepala air dan tidak mengambil risiko menyeberangi laluan yang ditenggelami air deras bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang. Orang ramai diingatkan supaya mengutamakan keselamatan dan memantau keadaan cuaca, terutama ketika musim hujan lebat di kawasan berbukit atau berhampiran sungai.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama