KUALA LUMPUR – Amanah Wilayah Persekutuan menegaskan RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) perlu diteruskan dengan penambahbaikan agar pembangunan bandar menjadi adil, inklusif, dan tidak menjejaskan hak mana-mana kaum. Pengerusinya, Khalid Abdul Samad, menjelaskan sokongan itu bersyarat dengan jaminan pampasan adil kepada pemilik asal, perlindungan insurans bagi memastikan projek dapat diteruskan, dan kadar pemilikan Bumiputera tidak terhakis.
Beliau menegaskan dakwaan bahawa RUU ini menghakis pemilikan Melayu adalah tidak benar dan sering digunakan sebagai taktik politik. Khalid menegaskan jika 100 unit flat asal dibangunkan semula menjadi 300 unit, semua 300 unit masih boleh diberikan status hak milik Melayu, malah bilangan pemilik Melayu meningkat.
Amanah mencadangkan pampasan bagi pemilik yang tidak bersetuju dikira berdasarkan tawaran sebenar pemaju, bukannya secara sewenang-wenangnya.
Kajian sosial, trafik, dan alam sekitar (SIA, TIA, EIA) perlu dilaksanakan pakar bebas tetapi dibiayai pemaju untuk memastikan pembangunan tidak menjejaskan kemudahan asas seperti sekolah, masjid, pusat kesihatan, dan sistem trafik.
Selain itu, pemilik asal boleh menikmati kadar penyelenggaraan lebih rendah melalui kaedah subsidi silang, manakala pemaju boleh menyediakan tapak perniagaan untuk Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) menjana pendapatan bagi menampung kos penyelenggaraan penduduk asal.
Khalid turut menyentuh isu antarabangsa, mengecam penahanan kapal Sumud Flotilla oleh Israel dan menyeru kepimpinan dunia mengambil tindakan bagi menghentikan genosid dan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.
AMANAH WP SOKONG RUU PSB DENGAN PENAMBAHBAIKAN, STATUS HAK MILIK MELAYU TERJAMIN
byMALAYSIA HARI INI
-
0
