PN DESAK KERAJAAN PASTIKAN PEMBEBASAN SUKARELAWAN GLOBAL SUMUD FLOTILLA

PN DESAK KERAJAAN PASTIKAN PEMBEBASAN SUKARELAWAN GLOBAL SUMUD FLOTILLA SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan bertindak segera melalui saluran diplomatik dan perundangan bagi menjamin keselamatan serta pembebasan semua sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk 12 rakyat Malaysia yang kini ditahan rejim Israel.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Israel mesti dipertanggungjawabkan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa serta tindakan biadab menghalang misi kemanusiaan ke Gaza. Beliau juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan komuniti antarabangsa agar tidak lagi berdiam diri. “Konvoi GSF membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas untuk rakyat Gaza. Namun Israel sekali lagi membuktikan kezalimannya dengan menyekat misi atas nama kemanusiaan. Serangan terhadap sukarelawan Malaysia adalah penghinaan kepada rakyat dan maruah negara kita,” tegasnya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu, 12 rakyat Malaysia disahkan berada dalam kapal yang dipintas Israel termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis, Sul Aidil, Zizi Kirana, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli, Rusydi, Danish Nazram, Farah Lee, Heliza Helmi dan Nur Hazwani Afiqah. Lima lagi sukarelawan Malaysia dilaporkan hilang komunikasi termasuk pendakwah PU Rahmat dan pelakon Ardell Aryana. Muhyiddin menegaskan, walaupun Israel cuba menghalang kapal, mereka tidak akan dapat menahan gelombang solidariti antarabangsa yang semakin membesar membela Palestin. “Perjuangan ini adalah perjuangan kemanusiaan. Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin sehingga kemenangan tercapai,” katanya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama