KUCHING – Seorang lelaki warga Indonesia, Rinaldi Roger Mau, 21, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kuching selepas mengaku bersalah memiliki bahan pornografi kanak-kanak dalam telefon pintarnya.
Tertuduh ditahan polis ketika pemeriksaan di sebuah bilik sewa di Batu 4, Jalan Datuk Stephen Kalong Ningkan pada 23 September lalu, selepas risikan mendapati dia menyimpan bahan terlarang itu. Selain itu, tertuduh gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan tiada rekod di Jabatan Imigresen Malaysia. Atas kesalahan itu, dia turut dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Hukuman penjara tersebut diperintahkan berjalan serentak bermula hari ini. Selepas tamat menjalani hukuman, tertuduh akan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tags
MALAYSIA HARI INI
