KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) berjaya melakukan beberapa siri rampasan membabitkan e-Bike tanpa permit, rokok seludup dan dadah jenis syabu dengan nilai keseluruhan RM482,499.16.
Pengarah JKDM, Zulkifli Muhammad berkata, rampasan dilakukan secara berasingan bermula Ogos hingga September. Pada 14 Ogos, sebanyak 33 unit basikal elektrik atau e-Bike tanpa permit import disita dalam serbuan di sebuah premis perniagaan dengan nilai pasaran RM38,108 dan cukai RM19,111.16.
Dalam operasi berasingan pada 8 Ogos, pihak kastam menemui 464,000 batang rokok putih di sebuah gudang dalam kawasan Free Commercial Zone (FCZ). Rokok terbabit dianggarkan bernilai RM357,280 termasuk cukai dan duti.
Selain itu, pada 18 September, dua bungkusan mencurigakan yang dihantar melalui KLIA berjaya dikesan. Pemeriksaan mendapati ia mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah syabu seberat 1,368.2 gram. Bungkusan itu disamarkan dalam bentuk sabun pencuci sebelum dihantar ke Sabah. Nilainya dianggarkan melebihi RM68,000.
Menurut Zulkifli, cubaan menyeludup menggunakan barangan harian adalah taktik baharu sindiket untuk mengaburi pihak berkuasa. Kes syabu tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, selain sebatan mandatori sekiranya tiada hukuman mati dijatuhkan.
JKDM menegaskan komitmen mereka dalam mengekang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan hasil negara, malah mengancam keselamatan masyarakat. Orang ramai diseru bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan melalui saluran rasmi kastam.
Tags
MALAYSIA HARI INI
